Monday, January 3, 2011

JIRIM 2010 tarik penyertaan lebih 600 remaja dari seluruh negara

ULU YAM, 26 Disember – Lebih 600 remaja dari seluruh pelusuk negara menyertai Jambori Remaja Muslim Nasional (JIRIM) kali ke-2 anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) yang telah berlangsung di Kem Nur Laman Bestari Ulu Yam.

Majlis perasmian penutupan JIRIM ke-2 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr. Khair bin Mohamad Yusof. Turut hadir ialah Timbalan Presiden ISMA, Encik Abdul Rahman bin Md Dali dan Penasihat KRIM, Dr. Kamil Azmi bin Tohiran.

Jambori yang diadakan selama tiga hari dua malam ini berkonsepkan aktiviti-aktiviti lasak yang bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, malah kemampuan minda berfikir dengan soalan-soalan yang menguji kefahaman peserta tentang Islam dan al-Quran.

“Kita disogokkan dengan pelbagai isu semasa yang kebanyakannya adalah negatif dari pelbagai arah. Hal ini kian meruncing dengan bertambahnya gejala-gejala sosial termasuk keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat kita. Atas sebab itu, KRIM terpanggil untuk bersama menggembleng tenaga memancarkan gelombang positif kepada masyarakat terutamanya golongan muda seperti remaja. Salah satu usaha KRIM adalah dengan penganjuran JIRIM yang mana telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh Malaysia,” jelas Mohd Soufi bin Anual, Pengarah JIRIM 2 berkenaan objektif KRIM menganjurkan program ini.

Beliau turut menekankan bahawa, ‘penganjuran JIRIM hanya merupakan permulaan kepada kebangkitan agenda membangun ummah.’

Jumlah penyertaan daripada peserta perempuan juga tidak kurang hebat. Timbalan Pengarah JIRIM 2, Saudari Nurul Fariena bt. Asli menyatakan bahawa peserta perempuan hebat, bagus dan mempunyai sasaran sendiri untuk menyertai JIRIM 2. Mereka turut membuktikan semangat dengan menyertai semua aktiviti walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan, termasuklah hujan lebat yang melanda kawasan kem tersebut.

Para peserta apabila ditanya respon masing-masing amat mengharapkan kepada penganjuran Jambori Remaja Muslim Nasional kali ke-3 dan menyatakan bahawa pengalaman yang mereka lalui sepanjang JIRIM 2 ini benar-benar berharga dan merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Mohd Syafi bin Mohd Ridhuan Tee, salah seorang peserta mengucapkan rasa syukur menyertai JIRIM 2 ini dan merasakan ia banyak memberi impak kepada setiap individu. Beliau turut merasakan bahawa kem ini lebih istimewa dan lain daripada kem-kem lain kerana ia menerapkan nilai iman dan Islam dalam setiap individu seperti menjaga pergaulan lelaki dan perempuan, penerapan Islam dalam setiap aktiviti, dan merapatkan silaturrahim sesama peserta daripada pelbagai negeri.


* Kepada peserta-peserta Krim Perak tahun ni naik 1 bas tahun depan 2 bas ya insyaAllah

1 comment:

  1. Saya Berminat Untak Menyertai Jambori,
    Siapakah Yang Patut Saya Hubungi Untuk Bertanyakan Soalan Dan Mendaftarkan Diri .

    ReplyDelete